fb fb fb fb fb

Banjir di Melaka: JKM sedia lebih 300 petugas

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Nordin

MELAKA, 18 April - Lebih 300 petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bersiap siaga untuk membantu penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Nordin berkata bantuan yang disediakan termasuk kit makanan dan sesi kaunseling.
 
"Selalunya kita ada perkhidmatan kaunseling, kaunseling itu tetap ada, selain daripada penjagaan 24 jam daripada JKM itu sendiri dan yang lain memang mereka sentiasa bersiap sedia lah daripada segi makanannya dan apa sahaja," katanya kepada pemberita di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini lewat malam tadi.

Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
 
Kalsom berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan terjejas banjir digesa memainkan peranan proaktif bagi memastikan mangsa mendapat bantuan yang disediakan kerajaan negeri seperti kit makanan dan bantuan kewangan.

Bagaimanapun katanya permohonan perlu mengikut prosedur ditetapkan untuk memudahkan penerimaan bantuan.

"Ada borang yang perlu diisi selain laporan polis berkaitan rumah mereka yang terjejas banjir dan gambar kejadian serta ia disahkan JPKKK atau Ketua Kampung kerana proses ini melibatkan kewangan," katanya.

Banjir di Melaka bermula 14 April lalu berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan air sungai dan parit melimpah ke kawasan penduduk.

TETITIA YUSOFF