DOHA, 18 April - Skuad belia negara memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tewas 0-2 menentang Uzbekistan dalam saingan Kumpulan D.
Perlawanan yang berlangsung Stadium Antarabangsa Khalifa itu menyaksikan skuad negara ketinggalan pada separuh masa pertama selepas pasukan lawan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-11 yang disempurnakan Jasurbek Jaloliddinov.
Penalti itu diberikan kepada Uzbekistan selepas Syahir Bashah mengasari Ruslanbek Jiyanov.
Babak kedua menyaksikan pasukan kendalian, Juan Torres Garrido tampil dengan aksi lebih baik apabila berjaya melakukan beberapa percubaan ke pintu gol Uzbekistan, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan.
Bagaimanapun pada minit ke-83 sekali lagi pintu gol pasukan kebangsaan digegarkan dengan jaringan menerusi Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.
Selepas ini skuad negara akan meneruskan saingan Kumpulan D menentang Vietnam di gelanggang sama, Sabtu ini.