KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kerajaan disaran menggabungkan tiga penyedia pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); bagi mewujudkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah penting itu perlu bagi memastikan semua prasekolah KPM, TASKA di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tabika Perpaduan mempunyai asas pendidikan yang kukuh.
Beliau turut mencadangkan agar mempertimbangkan kewajipan prasekolah bagi kanak-kanak berumur lima tahun di peringkat prasekolah, selaras dengan negara luar serta memberi penumpuan khusus kepada kemudahan prasekolah di desa
"Ini penting untuk memastikan asas pendidikan yang baik untuk anak-anak kita dan membolehkan umur pendidikan anak-anak kita selaras dengan negara-negara maju yang lain.
"Namun, kerajaan juga perlu memikirkan secara serius. Wajar ketiga-tiga institusi (KPM, TASKA KEMAS dan Tabika Perpaduan ini digabungkan di bawah KPM supaya dapat mewujudkan satu pendekatan yang menyeluruh untuk prasekolah anak-anak kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat di sini.