SEMENYIH, 11 Ogos- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan membabitkan kematian seorang pelajar Pasukan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti berkenaan.
Kenyataan itu disuarakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika melawat keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, hari ini.
Jelas beliau, meski insiden tersebut berada bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan (MINDEF), pihaknya turut terpanggil untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan kes berkenaan.
Beliau menegaskan, tiada pihak akan dilindungi jika terbukti wujud unsur salah laku dalam kes berkenaan.
"Kita memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak akan berusaha melindungi sesiapa pun sekiranya didapati wujud unsur-unsur yang tidak baik dilakukan terhadap adik Haris.
Perkara paling mustahak adalah supaya laporan jawatankuasa itu disegerakan, seperti yang telah disebutkan oleh ahli keluarga," kata Datuk Seri Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.
Beliau turut dimaklumkan bahawa satu jawatankuasa rentas kementerian melibatkan MINDEF, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah ditubuhkan bagi menyediakan laporan lengkap.
Beliau juga menyeru agar semua pihak tidak membuat spekulasi di media sosial dan menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun meminta agar siasatan dijalankan secara telus.
"Saya telah menerima pelbagai maklumat, termasuk dakwaan bahawa kejadian ini melibatkan pegawai atau pihak atasan. Oleh itu, saya mahu siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak. Saya memohon agar jawatankuasa yang telah ditubuhkan menerima wakil peguam saya, Datuk Naran Singh sebagai ahli jawatankuasa tersebut.
Saya juga memohon supaya bedah siasat kedua dilakukan dengan segera kerana saya ingin mengetahui punca sebenar kematian. Saya tidak yakin dengan alasan yang telah diberikan kepada saya sebelum ini," kata Ummu Haimam kepada pemberita, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam keluarga, Datuk Naran Singh berharap agar bedah siasat kedua dilaksana secepat mungkin serta ia akan dibantu oleh pakar forensik terkenal tempatan.
"Permintaan utama saya adalah supaya bedah siasat kedua dilakukan dengan segera, dengan kehadiran seorang pakar forensik. Kami akan menjemput pakar forensik terkenal di Malaysia, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.
Itulah harapan saya. Kami telah menghantar surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), namun saya membuat permintaan ini melalui menteri bagi mempercepatkan prosesnya," kata Datuk Naran Singh.