BALING, 7 Julai- Penduduk yang terjejas banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling terus mendapat perhatian sukarelawan.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 3 Dari Pulau Pinang turut turun padang melakukan operasi membersih kawasan yang terkesan menerusi Op Bantu.
Pegawai Penjaga Terup 3C FRU Pulau Pinang, ASP Muhammad Dazila B Ibrahim berkata penugasan bermula semalam itu melibatkan gotong-royong membersihkan kawasan Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairah.
Operasi tersebut membabitkan 2 pegawai dan 45 anggota bersama sebuah jentera pembersihan dan 7 buah kenderaan sokongan logistik.
(Anggota FRU Pulau Pinang membantu membersihkan
kawasan Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairah/FRU Unit 3)
Op Bantu diteruskan hari ini dengan pembersihan melibatkan kawasan rumah ibadat dan klinik desa.
"Ini adalah khidmat sosial pasukan kepada masyarakat untuk memberi bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana", katanya ketika dihubungi RTM.