KUALA LUMPUR, 14 Februari- Arkib Negara Malaysia melalui Bahagian Arkib Negarawan mengambil inisiatif melaksanakan forum bagi menyebarluaskan maklumat sejarah dan mendekatkan masyarakat dengan tokoh - tokoh negarawan khususnya bekas- bekas Perdana Menteri.
Ini merupakan sebahagian usaha mengenang 100 tahun tarikh kelahiran Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn,
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Nancy Shukri, langkah itu proaktif bertujuan meningkatkan patriotisme dan jati diri rakyat, sekaligus menyuburkan ingatan terhadap sumbangan bakti tokoh terdahulu.
"Sesungguhnya, ketokohan pemimpin terdahulu menjadi rujukan serta tauladan kepada kita agar dapat memperbaiki diri sendiri dalam apa jua aspek kehidupan, terutamanya memastikan strategi dan halatuju yang hendak dicapai dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berimpak tinggi kepada negara tercinta," katanya ketika berucap pada Forum Bicara Negara: Pemikiran dan Kepimpinan Tun Hussein Onn.
Tambah beliau, program ini sejajar dengan sasaran MOTAC bagi memastikan matlamat kedua Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN) iaitu mengukuhkan perpaduan dan mengekalkan jati diri serta identiti nasional.
Pada forum tersebut, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Tun Hussein Onn turut dijemput bagi berkongsi pengalaman bekerja bersama Bapa Perpaduan itu.