fb fb fb fb fb

Forum Berita Global, GNF fokus teknologi AI, berita palsu dan keselamatan wartawan

Forum Berita Global (GNF) selama tiga hari berlangsung di Kota Istanbul, bertemakan "Journalism Under Fire"/RTM

ISTANBUL, 23 MEI-Persaingan dalam menentukan hala tuju dan masa depan kewartawanan global masa kini, masih memerlukan "sentuhan manusia" meski pun teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah mula menguasai sebahagian tugas dan peranan seorang wartawan.

Justeru, teknologi AI perlu dirangka dan distruktur dengan jelas supaya nilai-nilai kemanusiaan tidak hilang dalam pelaporan sesebuah berita.

Ia diakui oleh ramai pengamal media awam di seluruh dunia bahawa, AI sekadar digunakan untuk memudahkan tugasan di bilik berita, bukannya menggantikan peranan seseorang wartawan atau tugasan editorial sepenuhnya.

AI dibentuk untuk memudahkan pencarian, semakan dan mempercepat urusan kerja dengan pengawasan rapi manusia sebagai penyaring atau gatekeeper.

Perkara ini menjadi perdebatan hangat para pengamal media awam melibatkan 30 agensi media awam seluruh Dunia dari 26 Negara anggota kesatuan Penyiaran Asia Pasific (ABU).

Mereka berhimpun dalam acara tahunan Forum Berita Global (GNF) selama tiga hari yang berlangsung di Kota Istanbul, bertemakan "Journalism Under Fire".

"Saya rasa cabaran pada masa kini oleh media adalah perkembangan teknologi AI. Pihak media perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi AI supaya mereka mendapat pengikut sendiri dan memastikan berita-berita dikeluarkan adalah sahih dan mudah diikuti, " kata Pengarah EBU News, Liz Corbin.

Timbalan Pengarah Urusan PSM Maldives, Abdulla Yamin turut menekankan kepentingan dan kesan teknologi AI dalam dunia kewartawanan.

"Menghubungkan AI dalam masa depan teknologi, terutamanya dalam bidang kewartawanan adalah sangat penting. Namun ia juga merupakan isu yang membimbangkan kerana kita perlu menggunakannya dengan cara yang betul. Sentuhan manusia mesti ada dan campur tangan manusia terhadap AI juga perlu ada," katanya.

Turut dibincangkan apakah langkah segera dan menyeluruh dapat diambil oleh semua badan penyiaran awam dunia ini, dalam menangkis penyebaran berita-berita palsu.

Setiap daripada mereka optimis dengan satu kerjasama jitu dalam kalangan negara anggota ABU untuk bertukar-tukar maklumat serta kerjasama bagi memastikan penularan berita-berita palsu dapat dibendung.

Turut mendapat perhatian, isu kenaikan dan soal keselamatan para wartawan yang membuat liputan di lokasi-lokasi bergolak.

Dunia kewartawanan melihat ancaman tersebut turut mengakibatkan ramai nyawa wartawan terkorban.

MOHAN CHINNASAMY