fb fb fb fb fb

Segmen pertahanan siber warnai LIMA akan datang

MINDEF sedia rangka LIMA baharu, fokus siber dan teknologi satelit.

LANGKAWI, 23 Mei  Kementerian Pertahanan mula merangka perancangan awal bagi penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) akan datang, meskipun edisi 2025 masih berlangsung.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata antara fokus utama ialah memperkenalkan segmen baharu berkaitan pertahanan siber, sejajar perkembangan ancaman keselamatan digital masa kini.

“Kalau kita lihat, LIMA ada banyak segmen yang dapat kita tingkatkan. Sebagai contoh, saya fikir pada masa hadapan orang nak lihat kemampuan industri siber dalam LIMA. Saya fikir dua tahun lagi akan ada perkembangan, pertahanan siber akan lebih berkembang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama RTM.

Menurutnya lagi, teknologi satelit turut diberi tumpuan dengan pameran yang lebih menyeluruh bakal dirancang bagi penganjuran seterusnya.

Dalam masa sama, kementerian juga merancang memperkukuh penglibatan golongan belia dalam acara dwitahunan itu.

Adly memaklumkan, perbincangan awal bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah diadakan bagi memperkenalkan elemen e-sukan dalam LIMA, selain mengetengahkan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN