fb fb fb fb fb

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan sempena Sidang Kemuncak Asean ke 46 bermula

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Mesyuarat Berkaitan sempena Sidang Kemuncak Asean ke 46 menjelang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini./Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 MEI - Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Mesyuarat Berkaitan sempena Sidang Kemuncak Asean ke 46 menjelang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Agenda pertama dimulakan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) yang menghimpunkan wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).

Turut berlangsung, siri mesyuarat persediaan merangkumi Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.

Prep-SOM merupakan platform utama penyelarasan sebelum Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat-mesyuarat di peringkat menteri atau sidang kemuncak.

Ia berfungsi untuk menyenaraikan serta merangka segala butiran penting sebelum rundingan rasmi atau pengumuman dibuat.

Sebagai sebahagian daripada program rasmi sidang kemuncak, para pegawai kanan ASEAN turut dijadualkan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, bertempat di Estate Federal Hill, Bukit Damansara, malam ini.

Sebelum sidang kemuncak berlangsung, mesyuarat peringkat menteri akan diadakan pada 25 Mei, diikuti oleh mesyuarat ketua-ketua kerajaan yang dijadualkan bermula pada 26 Mei ini.

MOHAN CHINNASAMY