fb fb fb fb fb

Format Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran ditambah baik

(Foto fail)

GEORGE TOWN, 23 Mei- Seramai 112 peserta akan bertanding dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA), Butterworth dari 11 hingga 16 Jun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata beberapa penambahbaikan format akan dilaksana bagi memberi lebih cabaran kepada peserta.

"Antaranya dengan mewajibkan peserta tilawah membaca dua lagu wajib secara berturut-turut dan menyelesaikan bacaan dengan sekurang-kurangnya empat maqamat dalam masa 10 minit. Untuk peserta hafazan pul, mereka diwajib menghabiskan sekurang-kurangnya 10 baris dalam masa dua minit", katanya di Majlis Prapelancaran Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 di Nayan Lepas.

Seramai 32 hakim akan menilai bacaan peserta.

Antara aspek bacaan yang akan dinilai ialah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.

Sementara itu Mohd Nai'im berkata peserta yang dipilih berusia 10 hingga 25 tahun.

Ia secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup.

"Saya rasa ini sangat penting sebab kita nak lahirkan generasi qurani. Maknanya lagi ramai golongan muda yang terlibat. Mereka boleh jadi duta kepada anak-anak muda yang lain," tambah beliau.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah, stesen-stesen radio RTM, Radio IKIM FM, Web TV JAKIM di www.jakim.tv dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.

(Format Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran ditambah baik)

Media Baharu