fb fb fb fb fb

Foodbank di Inasis UUM sedia makanan asas percuma, bantu pelajar

Inasis atau Inapan Siswa di Universiti Utara Malaysia (UUM)/ UUM

SINTOK, 5 Oktober - Setiap Inasis atau Inapan Siswa yang dulunya Kolej Kediaman di Universiti Utara Malaysia (UUM) kini melaksanakan Foodbank Mahasiswa, iaitu inisiatif menyediakan bantuan makanan asas kepada pelajar yang memerlukan, secara percuma.

Menurut Pengerusi Majlis Pengetua Inasis, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah yang juga Pengetua Inasis TNB dalam kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan memastikan tiada pelajar UUM berdepan kelaparan akibat kesempitan hidup.

"Foodbank ini menyediakan keperluan asas seperti mi segera, biskut, minuman 3 dalam 1, dan makanan kering lain yang boleh diambil oleh pelajar yang benar-benar memerlukan, terutamanya dalam kalangan keluarga B40 atau yang terputus sumber kewangan sementara,"menurut kenyataan itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap aras di Inasis mempunyai seorang ketua pelajar yang berperanan sebagai penghubung utama.

"Pelajar yang memerlukan bantuan boleh berjumpa dengan ketua aras, atau JKPS atau felo Inasis atau Pengetua sendiri. Pendekatan ini dibuat agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan penuh berhemah, tanpa menimbulkan rasa malu," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu penderma yang ingin turut bersama-sama ingin berkongsi rezeki, boleh menghubungi pihaknya sebagai usaha membantu golongan pelajar tersebut.

0510 KDH UUM FOODBANK2
Antara barangan asas yang disediakan di Inasis/ UUM

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI