fb fb fb fb fb

Fokus Belanjawan Madani: Tingkatkan fasiliti kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 7 Okktober - Sektor kesihatan menjadi antara tumpuan utama dalam Belanjawan Madani 2024.

Ini termasuk isu yang melibatkan fasiliti serta penambahbaikkan perkhidmatan kesihatan awam.

Rata-rata suara orang ramai yang ditemui Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahu penambahbaikan fasiliti di hospital dan klinik, serta menambah jumlah petugas kesihatan.

Mereka yakin dengan penambahbaikan itu mampu memantapkan lagi keupayaan kapasiti perkhidmatan kesihatan, sejajar dengan perubahan persekitaran dan keperluan rakyat Malaysia.

"Memang bagus kalau begitu, sebab sekarang banyak penyakit yang tiba-tiba akan datang (mengjangkiti) macam penyakit jenis COVID, apabila ada penambahbaikan diberi perhatian 100 peratus memang saya sokong," kata Safiah Surin.

"Kadang-kadang bila tengok jumlah pesakit ramai tapi fasiliti ada yang tak cukup, mungkin klinik kekurangan doktor, jururawat ramai," kata Siti Isah Surin.

"Saya menggesa kerajaan sediakan fasiliti lebih lengkap di semua klinik kesihatan di semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya kita ada fasiliti kecemasan yang dapat digunakan untuk membantu rakyat 24 jam, lagi baik kalau ada penambahbaikan klinik desa yang menjadi tumpuan kepada masyarakat dan luar bandar," kata Mohd Alif Anas.


Dalam pada itu, strategi sedia ada perlu dinilai semula dengan mengenal pasti langkah yang lebih responsif untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan sektor kesihatan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berharap Skim Perubatan Madani dapat dikembangkan di seluruh negara selain meneruskan inisiatif yang sedia ada.

"Kerajaan beri perhatian lebih kepada sumber-sumber di Kementerian Kesihatan (KKM), tingkatkan sumber manusia, dan tingkatkan fasiliti di kawasan luar bandar dan bandar yang sesak.

"Kedua kita harapkan Skim Perubatan Madani yang sangat bagus ini dikembangkan di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja," katanya selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia, terbitan RTM.

Awal Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan untuk memberi perhatian khusus kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2024.

Ini memberi gambaran jelas keseriusan kerajaan mereformasi sektor berkenaan bagi memastikan perkhidmatannya yang lebih mampan.

KKM antara yang menerima peningkatan peruntukkan terbesar dalam Bajet 2023 iaitu sebanyak RM36.1 bilion.

Media Baharu