fb fb fb fb fb

Bot pecah hanyut ke perairan negara, lima pemancing Indonesia diselamatkan

(FOTO MARITIM MALAYSIA)

PONTIAN, 7 Oktober- Lima pemancing warga Indonesia diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor di perairan Tanjung Piai di sini, semalam, selepas hanyut di lautan selama tiga jam akibat bot dinaiki karam di lautan negara asal.

Mangsa berumur 21 hingga 48 tahun dijumpai dalam keadaan stabil dan diserahkan kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia pada pukul 2.30 petang tadi.

Pengarah MARITIM negeri, Laksamana Pertama MARITIM Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa keluar memancing sekitar pukul 11.00 malam Khamis lalu di Beting Sembilan, Indonesia, sebelum berdepan keadaan laut berombak.

Selang satu jam setengah kemudian, bot dinaiki mereka dipukul ombak besar serta pecah dan karam di perairan Karimun, Indonesia.

Kelima-lima lelaki itu berpaut pada tong minyak dan hanyut ke perairan Malaysia, sebelum sebuah kapal dagang berhampiran menjumpai mangsa serta memberikan bantuan awal.

Mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor dengan menaiki bot ronda agensi berkenaan.

(FOTO MARITIM MALAYSIA)

Media Baharu