
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat universiti bagi menggalakkan pengeluar tempatan beralih daripada pengeluar peralatan asal (OEM) kepada pengeluar jenama sendiri (OBM).
- FMM menandatangani MoU dengan empat universiti untuk galakkan pengeluar tempatan beralih dari OEM ke OBM.
- Usaha fokus tingkatkan rantaian nilai melalui pembuatan pintar dan keupayaan kejuruteraan termaju.
- Kerjasama akademia-industri bertujuan kukuhkan ekosistem R&D&I di Malaysia.
- Perancangan integrasi keperluan industri ke dalam kurikulum dan bawa pelajar serta pensyarah ke dalam industri.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata adalah penting bagi pengeluar Malaysia untuk meningkatkan rantaian nilai melalui penggunaan pembuatan pintar dan keupayaan kejuruteraan termaju.
“Menandatangani MOU adalah sejarah untuk FMM. Pertama kali kami menandatangani empat MOU bersama dengan universiti, kami mempunyai enam universiti lain yang telah menghantar MOU bersama FMM. Sebabnya kami ingin menyertai, mencipta ekosistem penyelidikan dan inovasi di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU hari ini.
FMM menandatangani MoU dengan UCSI University, Monash University Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Sunway University sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama akademia-industri.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.
Lee berkata FMM sebelum ini telah menandatangani MoU dengan enam universiti lain dan, dengan penyertaan empat institusi baharu ini, perkongsian akademik-industri dijangka dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) di Malaysia.
“Kami menjangkakan lebih banyak kerjasama dengan universiti. Dari sudut FMM, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk meneroka cara mengintegrasikan keperluan industri ke dalam kurikulum akademik.
“Kami juga berhasrat membawa pelajar universiti, termasuk pensyarah dan profesor, ke dalam industri supaya sistem pendidikan kita menjadi lebih dipacu industri,” katanya.