fb fb fb fb fb

Finland sertai perjanjian persahabatan dan kerjasama Asia Tenggara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Finland menzahirkan penghargaan atas penghormatan menjadi antara rakan baharu negara-negara Asia Tenggara, selepas menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Menurut Menteri Luar Finland, Elina Valtonen, penyertaan itu bukan sekadar peluang, tetapi juga satu tanggungjawab besar dalam memperkukuh kerjasama serantau.

"Hal ini sememangnya menjadi teras kepada apa yang ingin Finland tawarkan dan jayakan bersama, kerana kami benar-benar percaya kepada kekuatan modal insan dan pemerkasaan individu," katanya
kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan kerjasama di Asia Tenggara (TAC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Finland yang disifatkan sebagai rakan boleh dipercayai sudah pun mempunyai kerjasama kukuh di rantau ini, termasuk dalam bidang teknologi, ekonomi kitaran, ekonomi biru dan diplomasi air.

Negara itu turut menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang keterhubungan, kecerdasan buatan, 5G, 6G, pengkomputeran kuantum dan angkasa lepas, selain pendidikan serta pembangunan modal insan yang menjadi teras kekuatan Finland.

Kedua-dua organisasi berkongsi matlamat sama, iaitu memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau demi kesejahteraan rakyat.

Elina turut memuji kecekapan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta menzahirkan komitmen untuk terus belajar dan bekerjasama rapat dengan rantau ini.

"Kami benar-benar kagum dengan tahap kecekapan dan turut banyak belajar daripada organisasi ini. ASEAN pula kini bersama semua rakan kerjasamanya mempunyai 50 negara, kini sebenarnya 58 termasuk Finland. Jadi daripada segi skala, ia hampir sama. Namun, kami berdua amat menumpukan kepada kestabilan dan kemakmuran serantau untuk rakyat kami, maka terdapat banyak perkara yang boleh kita pelajari antara satu sama lain," katanya.

Finland secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian itu bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Penyertaan Finland menjadikan keseluruhan 58 negara menyertai perjanjian itu, selepas Algeria serta Uruguay pada Julai lepas sekali gus memperkukuh peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.

TETITIA YUSOFF