KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Presiden Brazil, Luiz Incio Lula Da Silva hari ini menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada universiti serta mencerminkan hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan Brazil.
Katanya ia juga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Brazil, selain membuka lembaran baharu ke arah pertukaran akademik dan budaya yang lebih meluas pada masa hadapan.
"Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menempatkan Pusat Kajian Amerika Latin (iKAL) di bawah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS UKM).
Ditubuhkan pada tahun 2013, iKAL merupakan pusat penyelidikan yang sangat aktif mengenai Amerika Latin di rantau Asia Tenggara. Ia merupakan sebahagian daripada persidangan Kajian Amerika Latin dan Asia (LASA) dan bekerjasama rapat dengan negara-negara MERCOSUR, yang mana Brazil merupakan ahli pengasas," beliau berucap pada Majlis Konvokesyen Khas Penganugerahan Ijazah Kehormat, di sini.
Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan anugerah tertinggi akademik itu kepada Lula.
Bawah kepimpinan Lula, Brazil menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat dan kemajuan sosial yang signifikan melalui dasar pengagihan pendapatan, peningkatan gaji minimum serta pelaksanaan program kebajikan Bolsa FamÃlia.
Selepas menamatkan dua penggal, Lula kembali dipilih sebagai Presiden untuk kali ketiga pada 2022, menjadikannya pemimpin pertama dalam sejarah Brazil yang memegang jawatan tertinggi negara sebanyak tiga kali melalui mandat rakyat dengan lebih 60 juta undi, jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya Brazil.