fb fb fb fb fb

FINAS, PROFIMA dan JPPKK perkukuh kerjasama strategik bina tenaga kreatif berkemahiran

Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Usaha melahirkan tenaga kerja kreatif yang berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri diperkukuh melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Jabatan Pendidikan Politeknik serta Kolej Komuniti (JPPKK) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, kerjasama itu merangkumi pra-pelancaran program forum, masterclass dan sesi mentoring yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan jurang kemahiran dan keperluan industri, selain menyediakan laluan pendidikan serta pengiktirafan kemahiran kru filem melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Kerjasama ini saya pasti akan memberi impak tinggi kepada industri. Forum ini membolehkan industri dan akademik berbincang tentang jurang kemahiran yang perlu diperbaiki. Melalui TVET dan APEL, penggiat berpengalaman tanpa kelulusan akademik boleh menyambung pengajian atau mengajar di politeknik dan universiti,” katanya selepas majlis pra-pelancaran Program Creative Xperience Festival 2025 di FINAS, Hulu Klang.

Sementara itu, Presiden PROFIMA, Khalil Salleh menegaskan persatuan itu mengutamakan pendidikan, latihan dan persijilan dengan menggalakkan kru filem berkemahiran tetapi tidak memiliki sijil untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Kita menggalakkan kru yang hanya ada pengalaman tetapi tiada sijil ini mengambil SKM sejak dua, tiga tahun lalu. Di luar negara, sijil kemahiran yang paling diiktiraf adalah daripada kerajaan. Jadi apa saja pendekatan persijilan, kita sentiasa menyokong aspirasi kerajaan,” katanya.

Program Creative Xperience Festival 2025 turut dihadiri tokoh seni budaya, maestro syair Nusantara Roslan Madun serta pengarah-pengarah Politeknik Malaysia.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN