fb fb fb fb fb

Penguatkuasaan kenderaan berat di jalan raya diperketat, tangani kemalangan maut

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat di jalan raya secara bersepadu dan berterusan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu bertujuan menangani serta mengelakkan kemalangan maut melibatkan kenderaan seumpamanya, seperti insiden di Teluk Intan dan Gerik, Perak.

“Memang penguatkuasaan secara bersepadu dilaksanakan sepanjang masa dan kita fokus kepada kenderaan berat seperti bas, bas persiaran, bas ekspres dan lori perdagangan. Agenda keselamatan jalan raya ini tidak boleh bermusim, kita perlu sentiasa berwaspada dan saya harap sokongan daripada semua pihak agar tindakan tegas kerajaan dapat dipertahankan demi keselamatan jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam insiden kemalangan di Teluk Intan dan Gerik yang meragut nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), lesen pengendali syarikat yang terlibat telah dibatalkan.

Selain siasatan menyeluruh oleh Pasukan Petugas Khas, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan penguatkuasaan pemasangan mandatori peranti Speed Limitation Device (SLD) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Oktober depan.

Pemakaian tali pinggang keledar di semua tempat duduk penumpang bagi bas ekspres dan bas persiaran juga telah dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Julai lalu.

Anthony berkata, selaras dengan dasar ketelusan MOT, wakil kerajaan dan pembangkang turut dilibatkan dalam Pasukan Petugas Khas itu.

“Hasil laporan awal bagi kedua-dua insiden juga telah diterbitkan untuk tatapan umum agar maklum balas dari semua peringkat dapat dipertimbangkan untuk tindakan penambahbaikan. MOT mengambil serius semua cadangan yang akan dikemukakan apabila laporan akhir disiapkan. Pada masa sama, MOT telah mengambil langkah awal termasuk pelaksanaan audit keselamatan (JISA) dan pemeriksaan teknikal ke atas kenderaan terlibat,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN