KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Memasuki hari keempat penganjuran, ASEAN Halal Food Festival 2025 terus meraih sambutan menggalakkan dengan ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa membanjiri Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
Ini sekali gus menjadikannya acara tumpuan sepanjang minggu ini.
Festival yang berlangsung sehingga 26 Oktober ini bukan sekadar pameran makanan halal serantau, malah menjadi medan pemerkasaan Malaysia sebagai hab halal utama ASEAN.
Pengunjung tidak melepaskan peluang menikmati lebih 40 gerai yang menampilkan cita rasa autentik dari seluruh rantau ini.
Menambah kemeriahan, festival ini dianjurkan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
“Pelbagai sambutan dari Indonesia, Vietnam, semua ada. Malam pun meriah dengan penganjuran konsert. Memang hidup KL minggu ini,” kata peniaga, Mohd Hafizuddin Hassan.
Antara tarikan utama termasuk hidangan popular dari Thailand, Vietnam dan Indonesia, serta pelbagai pencuci mulut tempatan dan antarabangsa yang dijual pada harga mesra poket.
“Kami jual tau fu faa, soya, ais krim, makanan halal. Ais krim RM2 sahaja, memang murah sangat,” kongsi Zul Aliya Syafiena, salah seorang peniaga festival.
“Kami bawa produk terus dari Thailand. Ada mee segera, sos, dan kami juga tunjuk cara masakan asli seperti nasi goreng dan pad thai. Rasa seperti makan di Thailand,” tambah Pang Phornthitharee dari gerai Thailand.
Pengunjung juga tidak ketinggalan meluahkan keterujaan mereka.
“Banyak sangat makanan menarik dan harga pun berbaloi. Dimsum RM10 dapat 6 biji, tak sama macam festival makanan lain,” ujar Yuelda Marliana Yudasril.
“Alhamdulillah, banyak pilihan. Dari Kedah dan Selangor pun ada. Sambil jalan, sambil makan. Memang puas hati!” kata Farah Illias, yang hadir bersama keluarga.
