fb fb fb fb fb

'Fibre To The Home' tambah baik liputan jalur lebar kem tentera

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pula berkata pihaknya bersetuju untuk memberikan tambahan rebat kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh enam bulan pertama, bermula hujung tahun ini.

Ia melibatkan pengurangan RM10 daripada harga pakej yang ditawarkan.

"Saya mintak pihak Suruhanjara Komunikasi Malaysia (MCMC) peruntukan tambahan sebanyak RM3.3 juta untuk mengurangkan kos pakej tersebut daripada RM49 ke RM39 bagi enam bulan pertama. RM39 untuk 100 mbps.

"...dan ini diusahakan kerajaan. Kita harap semua rakan-rakan penyedia perkhidmatan melihat usaha ikhtiar kerajaan untuk menyediakan internet kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya mohon mereka juga sambut dan sahut cabaran untuk mengurangkan harga internet di luar sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara ATM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di Auditorium Kementerian Pertahanan (MINDEF) di ibu negara.

Fahmi menyifatkan tawaran pakej itu sebagai antara yang terendah di pasaran.

Ia merupakan fasa pertama dan selepas ini kerajaan akan meneliti penambahbaikan jaringan komunikasi di markas, pejabat MINDEF dan juga melibatkan kawasan dalam dan luar.

Dalam pada itu sebuah jawatankuasa pemantauan terdiri daripada ATM, MCMC, penyedia kemudahan dan perkhidmatan rangkaian akan ditubuhkan dalam aspek kesalinghubungan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar gentian optik.

Perkara itu bagi memantau secara keseluruhan pelaksanaan projek tersebut akan memastikan tidak berlakunya pertindihan infrastruktur sedia ada.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI