
KUALA LUMPUR, 1 September – Sambutan Hari Kebangsaan yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang mampu memperkukuh semangat kebersamaan serta hubungan antara kaum melalui pembentukan identiti bersama sebagai rakyat Malaysia.
- Aktiviti bersama memberi ruang berkongsi pengalaman dan merasai matlamat bersama tanpa mengira latar belakang.
- Pengalaman sedemikian penting dalam membina hubungan antara kaum yang lebih harmoni.
- Stereotaip mengaitkan kesalahan individu dengan kaum boleh membawa prasangka, prejudis dan akhirnya diskriminasi.
- Interaksi sosial positif perlu dipupuk untuk mengelakkan stereotaip, prasangka dan mengekalkan semangat kebersamaan.
Pakar Psikologi Sosial, Profesor Madya Dr. Haslina Muhammad berkata, sambutan dan aktiviti bersama memberi ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pengalaman serta merasai satu matlamat yang sama tanpa mengira latar belakang kaum.
“Dengan adanya sambutan seperti Hari Kemerdekaan ini, kita berkumpul di tempat yang sama dan menyaksikan perkara yang sama. Pada saat itu, kita akan benar-benar merasakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di RTM
Beliau berkata pengalaman sedemikian penting dalam membina hubungan antara kaum yang lebih harmoni kerana masyarakat dapat melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada sebuah negara yang sama.
Menurutnya, hubungan antara kaum turut dipengaruhi oleh cara masyarakat melihat kaum lain, termasuk kecenderungan mengaitkan kesalahan seseorang individu dengan latar belakang kaumnya.
“Apabila stereotaip ini wujud, ia boleh membawa kepada prasangka atau prejudis. Apabila prejudis pula berterusan, keadaan ini seterusnya boleh membawa kepada diskriminasi. Akhirnya, perkara yang pada asalnya kecil boleh menjadi semakin besar dan menimbulkan masalah yang lebih serius,” katanya.
Profesor Madya Dr. Haslina turut memaklumkan, interaksi sosial yang positif antara kaum perlu terus dipupuk bagi mengelakkan stereotaip dan prasangka yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat, sekali gus memastikan semangat kebersamaan terus diperkukuh.