
PUTRAJAYA 10 Sept. – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengadakan sesi penyelarasan bersama Kementerian Kewangan bagi menyampaikan keutamaan kementerian untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
- Libat urus dan perbincangan penting untuk memperhalusi keutamaan KKDW sebelum keputusan peruntukan dibuat.
- Prinsip 'spending better', nilai setiap ringgit mesti memberi impak lebih besar, bukan sekadar perbelanjaan lebih.
- KKDW memohon RM14.39 bilion untuk RP2 2027, tetapi siling sekitar RM8.3 bilion menunjukkan jurang pembiayaan.
- Kerajaan perlu mengurus sumber terhad dengan teliti; setiap peruntukan digunakan berdisiplin dan berasaskan impak untuk manfaat rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan libat urus penting bagi memastikan keperluan KKDW dapat diperhalusi sebelum keputusan peruntukan dibuat.
“Dalam konteks inilah kita perlu melihat semula bagaimana setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi nilai kepada rakyat. Bukan spending more, tetapi spending better dengan impak yang lebih besar dan hasil yang lebih bermakna. Justeru, prinsip yang sama mesti kita bawa apabila melihat Belanjawan 2027.
“Saya pernah tekankan bahawa engagement is very important, sebab itu baru-baru ini kita telah mengadakan sesi penyelarasan bersama Kementerian Kewangan untuk menyampaikan hasrat kita, menyelesaikan dan menjelaskan keutamaan KKDW dan mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan dan saya minta untuk kita diperhalusi lagi”, katanya.
Beliau berkata, KKDW memohon kira-kira RM14.39 bilion bagi peruntukan pembangunan Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, namun siling bayangan yang diberikan hanya sekitar RM8.3 bilion.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, jurang berkenaan menggambarkan cabaran kerajaan dalam mengurus sumber yang terhad, dengan keperluan pembangunan yang sentiasa lebih besar.
Justeru, beliau menegaskan peruntukan yang diterima dan setiap ringgit perlu digunakan secara teliti, berdisiplin dan berasaskan impak bagi memberikan manfaat terbesar kepada rakyat.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya.