Cabaran JKM kekal relevan dalam era digital

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 September – Perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), terus menjadi cabaran utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan perkhidmatan kebajikan itu kekal relevan dan efisien seiring perubahan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyesuaikan penyampaian perkhidmatan bagi mengurus aduan dan rujukan yang datang melalui pelbagai saluran.
  • Memastikan perkhidmatan kekal relevan dan efisien sejajar perubahan semasa.
  • Menambah baik sistem penyampaian digital hujung ke hujung untuk mempercepatkan proses dan menyasarkan bantuan kepada yang memerlukan.
  • Komitmen untuk menjadi agensi dipercayai dan berintegriti, disemarakkan dengan sambutan ulang tahun ke-80.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Rosmahwati Ishak berkata perubahan kepada era digital menyebabkan sumber aduan dan rujukan masyarakat datang melalui pelbagai saluran, sekali gus menuntut jabatan itu menyesuaikan penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Cabaran utama kita adalah untuk memastikan perkhidmatan itu kekal relevan, kekal efisien,” katanya ketika ditemui di RTM.

Beliau berkata JKM turut menambah baik sistem penyampaian digital yang berorientasikan hujung ke hujung bagi mempercepatkan proses perkhidmatan serta memastikan bantuan dan sokongan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, penggunaan teknologi itu turut membantu JKM memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Dalam pada itu, sempena ulang tahun ke-80 JKM, beliau berharap jabatan itu terus menjadi agensi yang dipercayai dan berintegriti dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Impian JKM adalah untuk memastikan JKM merupakan agensi yang paling dipercayai, agensi yang paling berintegriti,” katanya.

Sambutan ulang tahun ke-80 JKM akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 September ini, dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, perkhidmatan, jualan Rahmah, audio siar dan perkongsian ringkas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.