fb fb fb fb fb

Festival Keris Antarabangsa Melaka pamer 1,000 keris dari dalam dan luar negara

(Para pengunjung menyaksikan antara keris yang dipamerkan pada Festival Keris Antarabangsa Melaka
(FKAM) 2022 di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka)   

DUYONG, 14 November - Kira-kira 1,000 keris dari dalam dan luar negara dipamerkan pada Festival Keris Antarabangsa Melaka (FKAM) 2022 yang julung kalinya diadakan di Perkampungan Hang Tuah, di sini.

Program anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu merupakan antara sebahagian inisiatif kerajaan negeri untuk memartabatkan senjata warisan turun temurun masyarakat Melayu.

Julung kali diadakan pada skala besar, penganjuran program mendapat kerjasama Persatuan Warisan dan Adat Keris Melaka (PEWARIS) yang diadakan selama dua hari.

Penganjurannya juga berjaya menghimpunkan pemilik koleksi keris dari seluruh negara dan beberapa negara jiran antaranya Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Kita tahu bahawa keris adalah senjata yang sangat rapat dengan orang-orang Melayu khususnya dalam dunia Melayu nusantara jadi kita melihat bahawa budaya ini semakin pupus, jadi kita mengambil inisiatif dengan PEWARIS untuk melaksanakan satu program yang besar yang dihadiri lebih 10,000 orang selama dua hari ini dan pelbagai aturcara telah kita atur, dan kita harapkan program macam ini dapat kita laksanakan setiap tahun dan ianya akan menjadi acara tahunan kerajaan negeri Melaka kita akan masukkan dalam 'calendar of the event' kerajaan negeri," kata Pengarah PERZIM, Dr. Mohd Nasruddin Rahman.

Antara yang menarik perhatian termasuklah pameran keris tertua dari kerajaan Bentan yang berusia lebih 600 tahun.


(Antara keris yang dipamerkan sempena Festival Keris Antarabangsa Melaka (FKAM) 2022)   

Selain pameran keris, turut diadakan pertandingan sembilan jenis keris, demonstrasi mengukir hulu keris, menempa serta membuat keris termasuk mencuci keris.

"Keris itu sendiri adalah identiti orang Melayulah, jadi sebagai orang Melayu kita patut mengetahui apa itu keris, jadi bila ada program-program macam ini banyaklah pendedahan yang kita dapat tengok, anak-anak muda yang datang yang dulunya takut kepada keris, macam-macam cerita tentang keris ini yang mungkin menakutkan orang tapi sebenarnya tidak pun, sedikit pun tidak menakutkan," kata pengunjung, Abdul Malek Abdul Wahab.

"Bila ada program-program seperti ini anak-anak muda dapat 'join' atau pun tengok sendiri secara 'live' macam mana tukang-tukang buat kerja, selain daripada tengok dekat tv sebab sekarang ni pun banyak aktiviti budaya seperti ini kurang didedahkan, jadi bila ada festival seperti ini sangat bagus terutamanya pada era sekarang," menurut pengunjung, Nurul Shida Baharudin.

Perasmian festival disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Laporan disediakan wartawan, Muhamad Asyraf Ishak.

Media Baharu