JOHOR BAHRU, 13 Disember - Festival Budaya Malaysia 2025 di yang berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru menjadi platform mempromosikan kesepaduan masyarakat majmuk berteraskan nilai Malaysia MADANI serta kepelbagaian budaya tempatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata festival tersebut berperanan merangsang pelancongan negara, menyokong sasaran 47 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata, program itu dijangka memberi impak besar kepada ekonomi kreatif dengan membuka peluang kepada penggiat seni, pengusaha kraf, peniaga makanan serta penyedia perkhidmatan pelancongan.
“Kita membawakan pelbagai budaya di satu tempat, bukan sahaja daripada Johor, tetapi juga negeri-negeri lain. Ini memberi peluang untuk mengumpulkan budaya-budaya yang ada di Malaysia dalam satu platform,” katanya kepada pemberita, di sini.
Festival berkenaan diharap dapat diangkat sebagai acara kebangsaan tahunan serta menjadi platform diplomasi budaya untuk memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung selama empat hari sehingga esok menampilkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan seni budaya, pameran kraftangan tempatan, konsert malam, elemen interaktif serta bazar pelbagai etnik.