KUALA LUMPUR, 13 Disember -Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) amat diperlukan bagi melindungi kanak-kanak daripada pelbagai risiko keselamatan di ruang digital yang semakin serius.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Hamizah Sahharon berkata, ONSA penting bagi meletakkan tanggungjawab jelas kepada platform media sosial dalam memastikan keselamatan pengguna bawah umur.
“Ancaman paling kritikal ketika ini ialah buli siber, termasuk budaya ‘cancel culture’, serta eksploitasi seksual yang boleh meninggalkan trauma jangka panjang kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau menjelaskan, risiko itu meningkat apabila kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa di alam maya berbanding bersama keluarga dan rakan sebaya.
Menurut Dr Hamizah, ketagihan media sosial turut menjejaskan kesihatan mental, pola tidur dan perkembangan sosial kanak-kanak.
“Keadaan ini boleh mendorong mereka beralih ke platform tidak rasmi yang lebih berbahaya dan sukar dipantau,” ujarnya.
Tambah beliau, ONSA menandakan perubahan besar dalam pendekatan keselamatan digital apabila akauntabiliti tidak lagi diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa dan individu.
Sebaliknya, platform media sosial diwajibkan memikul tanggungjawab melalui mekanisme seperti pengesahan had umur, kawalan ibu bapa, penapisan kandungan, perlesenan serta audit keselamatan.
“ONSA bukan sekadar peruntukan undang-undang. Keberkesanannya bergantung kepada penguatkuasaan yang konsisten, audit berkala dan ketelusan platform,” katanya.
Tegasnya, tanpa pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan, usaha melindungi kanak-kanak berisiko gagal apabila mereka berhijrah ke platform tidak rasmi yang lebih sukar dikawal.