KUALA LUMPUR, 11 Disember - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membuka tirai Festival Budaya Malaysia 2.0 hari ini, membawa aura kemeriahan penganjuran pertama di Taman Tasik Titiwangsa ke selatan tanah air.
Festival empat hari itu berlangsung mulai 11 hingga 14 Disember sebagai sebahagian daripada persiapan Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff, festival edisi pertama yang dianjurkan di Kuala Lumpur sebelum ini merekodkan hampir 300,000 pengunjung dan jualan RM23.4 juta dalam tempoh lima hari, sekali gus menjadi asas penganjuran lebih besar di Johor.
“Kita nak bawa aura kemeriahan dari Titiwangsa ke Johor. Edisi kali ini bukan sahaja mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026, malah menjadi ‘soft launch’ kepada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Festival tersebut memilih Johor sebagai lokasi kedua kerana keunikan negeri itu yang dihuni pelbagai etnik Melayu, Cina, India, Bugis, Jawa, masyarakat Sabah serta komuniti Siam.
Antara tumpuan istimewa ialah pementasan zapin terbesar, yang akan menampilkan sehingga 4,000 penari serentak pada malam pelancaran rasmi Tahun Melawat Johor 2026.
Festival itu juga mengetengahkan kulinari tempatan melalui sembilan gerai mewakili setiap daerah di Johor, termasuk hidangan ikonik seperti mi rebus dan kacang pool.
Festival Budaya Malaysia 2.0 menawarkan 144 program merangkumi 14 pertandingan fotografi, tarian singa akrobatik, busana cilik, juara sajian chef cilik.
Selain itu, 44 persembahan kebudayaan tarian naga, tarian kipas, gendang panjang, persembahan bargera serta 32 pameran kraftangan, busana pengantin etnik, hasil laut, produk Sabah dan banyak lagi.
Sebanyak 46 demonstrasi serta program interaktif turut disajikan, merangkumi bengkel tarian singa, pembuatan kerantong, masakan tradisi Siam, bengkel gamelan dan tarian Jawa.
Turut memeriahkan festival ialah lima acara pentas utama termasuk pelancaran Tahun Melawat Johor, Konsert Suria Wau Malaysia serta persembahan dron
MOTAC menyasarkan impak ekonomi setara Negeri dari Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan atau Pahang turut dalam pertimbangan sebagai lokasi tambahan.
“Kita mahu festival ini menjadi diplomasi budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui pejabat Tourism Malaysia di luar negara," katanya.
Menurutnya, Festival Budaya Malaysia 2.0 terus mengangkat seni, budaya, warisan dan nilai murni Malaysia bukan hanya untuk Johor, tetapi untuk seluruh negara.