fb fb fb fb fb

FESTID 2025: Negeri Sembilan perkukuh agenda digital, inovasi

Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh agenda pendigitalan dan inovasi menerusi penganjuran Festival Sains, Inovasi, Teknologi dan Digital Negeri Sembilan (FESTID) 2025, yang julung kali diadakan/Foto RTM

SEREMBAN, 13 Disember -  Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh agenda pendigitalan dan inovasi menerusi penganjuran Festival Sains, Inovasi, Teknologi dan Digital Negeri Sembilan (FESTID) 2025, yang julung kali diadakan di negeri itu.

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata festival tersebut diadakan di bawah inisiatif Generasi Celik AI dan menjadi pemangkin dalam literasi Sains, Teknologi dan Digital dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan perkembangan dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan revolusi Industri 4.0.

“Teknologi ini berubah dengan sekelip mata. Hari-hari kita akan menerima perkara-perkara baharu dan sebab itulah kita tidak mahu generasi kita ketinggalan daripada sebarang perubahan. Kita juga ingin membentuk generasi akan datang agar berjaya dalam cara yang lebih positif.

"Dalam dunia maya yang terbuka ini, banyak maklumat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber. Tanpa kekuatan jati diri, kita bimbang ia memberi kesan negatif kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian FESTID Negeri Sembilan 2025 di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi.

Tambah Mohd Faizal, kerajaan negeri komited memperkasa inisiatif Generasi Celik AI melalui peruntukan berterusan dalam belanjawan negeri, dengan RM300,000 dikekalkan bagi Belanjawan 2026.

FESTID merupakan festival yang menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan, komuniti belia serta industri teknologi dalam usaha memperkukuh budaya ilmu, inovasi dan transformasi digital dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan.

Lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan festival berkenaan, yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran teknologi, demonstrasi inovasi serta bengkel digital.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN