fb fb fb fb fb

Mindef peruntuk RM1 juta projek infrastruktur Kampung Angkat Madani Batu Arang

Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur menerusi Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Arang/Foto FB MINDEF

SELAYANG, 13 Disember - Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur menerusi Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Arang.

Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali berkata peruntukan itu digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan kira-kira 10 inisiatif yang melibatkan penambahbaikan fasiliti awam serta kemudahan asas yang menjadi keperluan masyarakat kampung berkenaan.

1312 MINDEF KAMPUNG ANGKAT 2Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali/Foto RTM

“Ini adalah satu inisiatif penting oleh kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar. Di bawah inisiatif MADANI Malaysia, keseluruhan rakyat negara ini sepatutnya mendapat akses kepada kemudahan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Semarak Rakyat Komuniti Madani di Padang Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Batu Arang.

Menurut Lokman Hakim, pendekatan “Kerjasama Menyeluruh Kerajaan” dan “Kerjasama Menyeluruh Masyarakat” yang dilaksanakan menerusi program berkenaan bukan sahaja memperkukuh pembangunan fizikal, malah menyumbang kepada keselamatan komuniti dan negara secara menyeluruh.

“Kerjasama erat ini meningkatkan keharmonian, kesepaduan dan kesepakatan masyarakat. Di peringkat Kementerian Pertahanan, ia merupakan usaha “Kerjasama Menyeluruh Kerajaan”, “Kerjasama Menyeluruh Masyarakat” bagi memastikan masyarakat di sini mempunyai kemudahan asas yang lengkap serta infrastruktur berkualiti yang boleh digunakan bersama,” jelasnya.

Tambah beliau, Kampung Batu Arang dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri di Selangor.

Program Kampung Angkat Madani di Batu Arang akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), yang diberi amanah untuk merancang, melaksanakan dan memantau pembangunan fasiliti mengikut keperluan penduduk setempat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN