fb fb fb fb fb

FCC dilancar, instrumen biaya aktiviti pemuliharaan alam sekitar - NRES

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Protokol Forest Conservation Certificate (FCC) dilancar Malaysia Forest Fund (MFF) adalah sebagai instrumen kewangan bukan pasaran untuk membiaya aktiviti-aktiviti pemuliharaan dan inisiatif hutan lestari serta penjagaan alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata itu adalah usaha pertama kerajaan di bawah mekanisme Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) bekerjasama dengan MFF, bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai proses praktikal akauntabiliti.

"Sejak tahun 2022, kita telah memulakan usaha untuk membangunkan instrumen kewangan yang inovatif di bawah RFF."

"Mekanisme RFF ialah satu langkah transformasi yang menyediakan paradigma baharu dalam pembiayaan konservasi dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, mengiktiraf peranan penting struktur perkongsian awam swasta," kata Nik Nazmi kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Protokol Forest Conservation Certificate (FCC) di ibu negara, pagi tadi.

Sebagai pengiktirafan, Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan potongan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus bagi syarikat yang terlibat dengan mana-mana projek FCC yang disahkan oleh badan pengesahan bebas.

Selain itu, beliau juga turut mengumumkan Inisiatif Dana Pembangunan Projek Karbon Hutan berjumlah RM5 juta yang akan diuruskan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) bagi pelaksanaan projek.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM