KANGAR, 26 September- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis terus memperluas pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI di 25 outlet FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, pasar tani masjid dan termasuk di gerai buah-buahan segar milik agensi itu.
Sehingga kini sebanyak 100 Program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan dan mendapat penyertaan seramai 850 usahawan bawah bimbingan FAMA sejak Jun lalu.
Menurut Timbalan Pengarah FAMA Perlis Fakrul Hayat Abdullah, pelaksanaan program itu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM540,000 dan memberi manfaat kepada lebih 24,000 pengguna.
Pihak FAMA turut melaksanakan jualan beras putih tempatan menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan yang menjadi tumpuan utama pengguna selain produk keluaran usahawan FAMA.
Program intervensi berkenaan melibatkan pengedaran beras bagi pek bungkusan 10 kilogram sebagai usaha menstabilkan permintaan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
"Bagi beras putih tempatan, kita telah menjalankan intervensi bermula pada minggu lepas. Jadi dalam tempoh dua minggu ini, kita telah mengedarkan sebanyak 37 tan metrik beras ke outlet FAMA terpilih iaitu Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat.
"Pada hujung minggu ini kita ada Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan jadi kita akan melaksanakan intervensi pada program tersebut," katanya dalam Program Jualan Agro Madani yang berlangsung di perkarangan Pejabat FAMA Perlis di sini.
Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memudahkan pengguna untuk mendapatkan bekalan pada harga berpatutan.
(Fakrul Hayat Abdullah)