fb fb fb fb fb

FAMA Perlis pergiat Operasi Penguatkuasaan Harumanis

Operasi Penguatkuasaan Harumanis menyasarkan gerai menjual Harumanis di laluan Kuala Perlis ke Pauh dan Jalan Pauh ke Padang Besar

ARAU, 6 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kangar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Pertanian Negeri Perlis melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Harumanis.

Operasi melibatkan seramai 33 pegawai dan anggota daripada agensi berkaitan menyasarkan gerai menjual Harumanis di laluan Kuala Perlis ke Pauh dan Jalan Pauh ke Padang Besar.

Menurut Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan, penguatkuasaan tersebut bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan tidak wujudnya penipuan penjualan Harumanis kepada pelancong luar ke negeri Perlis.

Hasil penguatkuasaan mendapati, masih wujud segelintir peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan antaranya tidak memaparkan tanda harga dan tidak mematuhi peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Harumanis.

“Antara kesalahan lain adalah tidak mempamerkan tanda harga dan juga gred dimana ini yang akan menyebabkan natijah atau pun impak yang tidak baik kepada pihak kerajaan di mana ada kita mendapat aduan buah yang dibeli tu adalah bukan buah harumanis.”

“Untuk menjaga ikon harumanis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025, kita giatkan operasi harumanis ini dan saya tidak menolak insya-Allah dalam tempoh yang terdekat di sepanjang musim harumanis ini kita akan menguatkuasakan dan kita akan adakan lagi operasi-operasi sebegini," tegas Mohd Anzara.

Beliau terdahulu mengetuai Operasi Penguatkuasaan Harumanis di laluan Kuala Perlis ke Pauh dan Jalan Pauh ke Padang Besar.

Sebanyak 24 gerai diperiksa sepanjang laluan ditetapkan dan amaran secara lisan diberikan oleh panguat kuasa FAMA kepada peniaga agar mematuhi peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Harumanis.

Operasi ini dilaksanakan secara berkala sepanjang musim Harumanis Perlis yang dijangka sehingga penghujung Jun ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE