fb fb fb fb fb

FAMA Perlis laksana Program Jualan Agro Madani Pra Ramadan

Program Jualan Agro Madani Pra Ramadan membabitkan 12 lokasi seluruh Perlis

KANGAR, 11 Mac- Bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan khususnya sebagai persediaan menyambut Ramadan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis melaksanakan Program Jualan Agro Madani Pra Ramadan.
 
Program di 12 lokasi melibatkan outlet peruncitan FAMA iaitu Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat, pasar tani serta masjid terpilih.
 
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan memaklumkan, program berkenaan melibatkan 70 orang usahawan dengan nilai jualan mencecah RM150,000.
 
Program khusus menjelang Ramadan ini memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai produk agromakanan serta barangan keperluan harian dengan harga ditawarkan lebih menjimatkan.
 
Sebagai tambahan kepada sambutan Ramadan kali ini, FAMA Perlis turut akan membuka tiga bazaar Ramadan dengan melibatkan 132 usahawan sepanjang Ramadan.
 
"Untuk Ramadan kita ada tiga bazaar dengan kerjasama MPK dan MAIPs dimana kita akan bermula pada esok hari ada tiga lokasi iaitu di Simpang Empat, Dataran MAIPs Kangar dan UniMAP Ulu Pauh,"katanya.

Beliau memaklumkannya kepada media pada Program Jualan Agro Madani Pra Ramadan di perkarangan Pejabat FAMA Negeri Perlis menyaksikan 500 kampit beras tempatan ditawarkan pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram.
 
Sehingga kini, FAMA Perlis telah berjaya melaksanakan 65 Program Jualan Agro Madani, dengan nilai jualan mencecah lebih RM630,000 yang disertai 598 usahawan dan telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pengguna di Perlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE