UMBAI, 12 Oktober- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka memberi jaminan tiada isu kekurangan beras di negeri itu.
Pengarah FAMA Melaka Hairudin Yunos berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) telah mengedarkan beras putih tempatan ke seluruh 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Melaka.
Selain itu, pihaknya juga mengagihkan bekalan beras putih menerusi pelbagai platform antaranya di rangkaian FAMA, kedai kedai runcit serta Jualan Agro Madani.
(Pengarah FAMA Melaka, Hairudin Yunos)
"Setiap minggu, minima yang kita edarkan 3000 kampit, maknanya 30 metrik tan 3,000 beg kampit beras ini yang kita edarkan kepada seluruh 28 DUN ataupun ada beberapa lokasi yang kita buat Jualan Madani, seperti hari ini kita buat, kita buat jualan, kita bagi. Jadi, saya lihat tidak ada kesukaran untuk rakyat Melaka dapatkan beras dan rakyat Melaka pun, saya yakin mereka tidak melakukan pembelian panik", katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Go Cashless@ABR di Pekan Umbai.
Dalam pada itu, Hairudin berkata, sejak tahun lalu hingga sekarang, FAMA Melaka telah menganjurkan lebih 500 program Jualan Agro Madani di seluruh Melaka.