fb fb fb fb fb

DUN N.Sembilan lulus RUU Perbekalan Tambahan berjumlah RM8.96 juta

(Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam)

SEREMBAN, 13 Oktober- Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 bertujuan mengeluarkan wang sebanyak RM8.96 juta daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mencadangkan bacaan kali kedua RUU berkenaan berkata, peruntukan tambahan itu melibatkan pelbagai faktor seperti perubahan dasar kerajaan, penumpuan kepada cadangan Ketua Audit Negara serta impak peningkatan kos sara hidup.

"Tambahan ini untuk menampung kekurangan peruntukan akibat Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas, Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2023 serta bayaran balik hutang kepada kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri bersetuju membuat tambahan peruntukan RM8.96 juta bersamaan dengan 1.63 peratus daripada peruntukan asal Belanjawan 2023 berjumlah RM550 juta.

Peruntukan tambahan ini akan menjadikan peruntukan keseluruhan tahun ini meningkat kepada RM558.96 juta dengan anggaran defisit sebanyak RM108.96 juta," katanya pada Persidangan DUN negeri di sini semalam.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

RUU berkenaan diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara 34 ADUN dengan dua lagi tidak hadir bagi sesi pengundian itu.

Sementara itu, Aminuddin ketika penggulungan RUU berkenaan berkata bajet tambahan yang dikemukakan itu merupakan keperluan penting bagi memastikan kerajaan negeri mengikut peraturan ditetapkan.

Aminuddin berkata selain itu, kerajaan negeri juga mendapat teguran daripada Jabatan Audit Negara berhubung pembayaran hutang kepada kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri perlu mengambil perhatian dengan teguran audit tentang bayaran hutang negeri kepada kerajaan Persekutuan. Kita bayar agak minimum dan diminta membayar lebih sedikit. Kerajaan Persekutuan juga ada hutang dengan kerajaan negeri yang belum selesai iaitu bayaran kem Gemas (pemberi milikan tanah lapang sasar kepada Kementerian Pertahanan di Gemas).

"Jika ia dibayar kita juga akan ada pendapatan yang baik dan dapat memacu pembangunan negeri lebih baik ... kita akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertahanan dan Kewangan dalam memastikan duit itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini," katanya.

Persidangan ditangguhkan pada 1 Disember depan.

Media Baharu