SHAH ALAM, 25 Jun- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 203 outlet pemasaran di seluruh negara, bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan, bersempena perayaan Aidiladha.
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata outlet itu merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
"FAMA memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidiladha.
"Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi bawah kementerian," katanya.
(Aminuddin Zulkipli (empat dari kiri) hadir pada Majlis Pelancaran
Jualan Khas Aidiladha Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Shah Alam)
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jualan Khas Aidiladha Madani Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata sebanyak RM11 juta disasarkan pihaknya sepanjang lima hari program Jualan Khas Aidiladha Madani berlangsung, yang bermula semalam.