SUNGAI RAMBAI, 17 April- Sebanyak RM3 juta peruntukan diluluskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi pembinaan sebuah tapak pasar tani kekal, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tapak pasar tani yang boleh memuatkan sehingga 70 peniaga itu akan dilengkapi dengan fasiliti bagi kemudahan peniaga dan pengunjung.
Katanya, lokasi tapak pasar tani kekal itu bersebelahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai Arah Selatan.
"Tapak pasar tani ini telah diluluskan oleh FAMA. Ianya akan menjadi tapak pasar tani kekal di Sungai Rambai ini.
"Dulu peniaga tidak kekal, berpindah-pindah, jadi sekarang ini hasil usaha daripada exco pertanian, Dr. Akmal telah berjaya mendapat peruntukan RM3 juta untuk dijadikan tapak pasar tani kekal di Sungai Rambai," katanya.
(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)
Tambah beliau, dengan wujudnya pasar tani kekal itu akan dapat memudahkan masyarakat mendapatkan barangan keperluan harian selain sebagai daya tarikan untuk menarik kedatangan pelancong luar ke Sungai Rambai yang terkenal dengan sektor pertaniannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kuih Tradisional dan Pelita Raya Melaka 2023, di sini.