ALOR GAJAH, 17 April- Laporan penuh siasatan dalaman anggota tentera Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang maut selepas hilang pada 7 April lalu dijangka siap selepas Aidilfitri nanti.
Beliau ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak, pada 12 April, 10.15 pagi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kejadian tersebut juga masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet dan tindakan lanjut akan diambil.
"Kita sebenarnya sedang buat siasatan, selalunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet.
"Biasanya kita akan ada Mesyuarat Pasca Kabinet setiap hari Rabu petang. Jadi hari Rabu depan ini kita akan dapat sedikit laporan tapi dalam tempoh selepas hari raya.
"Kita yakin bahawa laporan penuh kita akan boleh dapat dari pihak keselamatan kerana kita di pihak Kementerian Pertahanan sentiasa bawa isu-isu di Kementerian Pertahanan Mesyuarat Pasca Kabinet sama ada isu dari Kabinet nak disampaikan kepada anggota di peringkat pertahanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Alor Gajah, di sini.
(Foto hiasan)
Mengulas lanjut katanya, kebajikan keluarga anggota tersebut juga akan menjadi keutamaan kementerian terutama bagi persiapan Aidilfitri dan juga keperluan pendidikan anaknya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun telah ditemukan maut selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di Hutan Simpan Belum, Gerik, Perak.