KUALA LUMPUR, 15 Februari - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia petang tadi akibat masalah kesihatan kronik.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau pernah menziarahi Muhammad Basir yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak tabung itu diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.
“Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir dan saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya.