fb fb fb fb fb

Fahmi pertikai laporan jangkaan harga barang naik

(Fahmi Fadzil / BERNAMA)

SHAH ALAM, 9 Julai - Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil mempertikai beberapa laporan media tempatan yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini. 

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata ini kerana kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan, selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya. 

“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di Shah Alam malam tadi.


(Fahmi pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR
DUN Batu Tiga di Shah Alam, malam tadi)

Jelasnya lagi, setakat ini kerajaan Perpaduan telah berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei. 
 
"Kedua, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 juga, jumlah pelaburan yang masuk ke dalam negara dianggarkan berjumlah kira-kira RM71 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM44 bilion yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lepas kerana didorong oleh kestabilan politik," katanya.

Tambah Fahmi, jumlah pelaburan asing juga dijangka terus meningkat pada masa akan datang termasuk melibatkan pelaburan besar dari kerajaan Arab Saudi. 

Justeru katanya jentera PH dan Barisan Nasional harus bekerja keras bagi menyampaikan kepada rakyat apa yang telah diusahakan serta komitmen kerajaan hari ini dalam membangunkan ekonomi negara. 

Media Baharu