(Keadaan kereta dan bas yang terbabit dalam kemalangandi Kilometer 285.5
LebuhrayaUtara Selatan (Arah Utara), dekat Nilai, Seremban pagi ini/ Foto: JBPMNS)
SEREMBAN, 10 Julai- Dua maut manakala tiga lagi cedera parah dalam nahas melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II, Shahrudin Mohd. Din memaklumkan, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi.
"Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong (La Holiday) dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira. Seramai 22 orang mangsa terlibat dalam kemalangan itu," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki iaitu pemandu bas dan penumpang seorang wanita Indonesia, sementara dua mangsa yang menaiki kereta selamat.
Shahrudin berkata mangsa yang lain belum dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, menurut akaun Twitter @plustrafik, kemalangan tersebut telah menyebabkan trafik sesak sepanjang enam kilometer disebabkan lorong kiri dan tengah terhalang.
(Pihak bomba di lokasi kejadian nahas)