fb fb fb fb fb

Fahmi nafi wang royalti masuk ke akaun PKR, akaun diaudit juruaudit bertauliah

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 April - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya berbilion ringgit wang royalti untuk Kelantan dan Terengganu dimasukkan ke dalam akaun parti itu.

Beliau berkata akaun parti berkenaan diaudit oleh juruaudit bertauliah dan diterbitkan setiap kali berlangsungnya kongres PKR.

“Ada individu muat naik posting (hantaran) palsu dan fitnah yang amat jijik. KEADILAN menerbitkan akaun setiap kali Kongres diadakan, dan akaun berkenaan diaudit juruaudit bertauliah.

“Tidak pernah ada jumlah seperti yang dituduh itu masuk ke dalam akaun KEADILAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau telah mengarahkan supaya laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat segera terhadap individu yang menyebarkan dakwaan terbabit.

Dakwaan itu dibuat oleh individu bernama Sabrizan Salleh yang dimuat naik melalui Facebook Jabatan Netizen Negara (Official) semalam.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN