KUALA LUMPUR, 13 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit milik pengendali akaun media sosial MyNewsHub bagi tujuan siasatan.
SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah merakam percakapan pengendali akaun tersebut di Ibu Pejabatnya di Cyberjaya kira-kira pukul 8.40 malam Jumaat.
"Rakaman percakapan ini adalah susulan tindakan suspek tersebut memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.
"Selepas selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut," katanya.
Menurutnya, MCMC memandang serius penularan video berdurasi satu minit 10 saat dengan tajuk 'Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!'.
"Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video itu adalah simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif," katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 1:10 minit melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dimuat naik oleh sebuah portal tempatan.
Dalam video tersebut, seorang pegawai awam dihalang oleh sekumpulan polis bantuan selepas kepada Zuki Ali mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan di dalam suatu majlis dihadiri oleh beliau.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.