fb fb fb fb fb

Fahmi Fadzil ucap tahniah, kejayaan filem Tiger Stripes di Cannes

(Poster Filem 'Tiger Stripes')

KUALA LUMPUR, 25 Mei- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah di atas kejayaan filem 'Tiger Stripes' merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes.

"Tahniah filem Tiger Stripes mencipta sejarah, filem arahan anak Malaysia pertama yang merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes.

"Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi buat rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook.

'Tiger Stripes' merupakan filem arahan anak Malaysia, Amanda Nell Eu.

Filem terbitan syarikat Ghost Grrrl Pictures arahan Eu itu dibintangi pelakon terkenal tanah air Shaheizy Sam dan pelakon baharu Zafreen Zairizal dan Deena Ezral dan artis veteran seperti Fatimah Abu Bakar.

Kejayaan itu membolehkan Eu membawa pulang wang tunai EURO10,000 bersamaan hampir RM50,000 bagi edisi ke-62 festival itu.

'Tiger Stripes' mengisahkan perjalanan Zaffan, seorang gadis berusia 12 tahun yang bersikap aneh ketika berdepan usia akil balighnya.

Dia bergelut dengan perubahan fizikal dirinya sehingga dipulau oleh masyarakat. Berani melawan rasa takutnya, Zaffan muncul menjadi wanita kuat.


(FOTO FB Fahmi Fadzil)

Media Baharu