fb fb fb fb fb

Fadillah, Nanta, Hannah doakan Salahuddin diberi kesembuhan

(Salahuddin dikejarkan ke hospital  pada pukul 10.15 malam tadi selepas mengalami mual dan muntah-muntah)

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendoakan agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang disahkan mengalami pendarahan otak, dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT.

Menerusi ciapan di Twitter, Fadillah mendoakan semoga segala urusan Ahli Parlimen Pulai itu dipermudah.

“Saya mendoakan semoga dipermudahkan segalanya dan semoga @MyDSA_official (akaun Twitter rasmi Salahuddin), YBM (Yang Berhormat Menteri) @KPDN_HQ dikurniakan Allah SWT kesembuhan...Aamiin,” menurut ciapan itu.


(Foto Fail: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)

Setiausaha Akhbar Salahuddin, Nur Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan  Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Kenyataan itu memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Turut mendoakan kesembuhan buat Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya mendoakan agar YB Datuk Seri Salahuddin Ayub cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” kata Nanta dalam catatan di Facebook. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga menitipkan doa buat Salahuddin agar diberi kesembuhan segera.

"Doakan sahabat saya, Salahuddin Ayub yang telah bekerja tanpa henti untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan semoga Tuhan mengurniakan kesembuhan segera buatnya," kata Hannah dalam catatan di Facebook.

 

Media Baharu