fb fb fb fb fb

Kerajaan perlu gandakan usaha perkasa ATM - Agong

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Kerajaan perlu melipat gandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah usaha tersebut perlu agar ATM sentiasa memiliki keupayaan untuk mendokong dasar negara dalam menghadapi pelbagai bentuk senario ancaman.

(Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan
Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) 2023 di Kem Perdana Sungai Besi / FOTO BERNAMA)

“Semua ini menuntut kepada pembentukan ATM yang boleh dipercayai, berteknologi tinggi dan berupaya untuk diadaptasi bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi ATM bertitah kerajaan juga wajar memberikan tumpuan dalam menjaga aspek kebajikan dan kesejahteraan warga ATM serta keluarga mereka.

Seri Paduka menyambut baik dan menghargai hasrat murni kerajaan untuk membina serta menaik taraf kediaman dan prasarana untuk kemudahan warga ATM yang sinonim dengan ungkapan ‘Rumahku, Syurgaku’.

“Kerajaan Beta juga wajar memberikan tumpuan dalam menjaga aspek kebajikan dan kesejahteraan warga ATM serta keluarga mereka," titah Seri Paduka.

Pada istiadat itu, Seri Paduka menyampaikan watikah pentauliahan kepada 228 pegawai kadet ATM yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Mereka terdiri daripada 136 Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM) dan masing-masing 46 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua mereka ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda selepas menamatkan program ijazah dan Latihan Ketenteraan Tahun Akhir, selama enam bulan di kolej perkhidmatan yang tamat pada 30 April lepas.

Isitiadat turut menyaksikan Leftenan Muda Mohamad Norizzaini Norizam dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.

Media Baharu