KUCHING, 13 Mac – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek, mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini.
Menurutnya, pemilihan kali ini menekankan kesinambungan dan kestabilan dalam parti bagi memperkukuh perjuangan sedia ada.
“Pemilihan ini adalah soal pemilihan dalam suasana keluarga dan yang paling penting adalah apa yang kita nak tawarkan kepada parti ini.
"Pastinya yang nak dilihat oleh anggota parti, siapa yang dapat menawarkan khidmat kebaktian yang terbaik dengan tawaran-tawaran bekerja untuk parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama PKR Sarawak di sini, hari ini.
Fadhlina turut mengesahkan setakat ini hanya terdapat satu pencalonan lain bagi jawatan Ketua Wanita PKR, iaitu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Beliau menegaskan bahawa pemilihan bukan sekadar pertandingan dalaman, tetapi juga satu proses untuk menawarkan kepimpinan dan perkhidmatan terbaik kepada parti.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuh suara wanita dalam PKR serta memastikan isu-isu berkaitan perjuangan wanita terus diberi keutamaan dalam parti.