
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan 155 pegawai serta anggota dengan kekuatan 12 aset sepanjang penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia bermula hari ini hingga Ahad (4 Oktober) bertujuan memastikan kesiapsiagaan keselamatan, kecemasan dan operasi penyelamatan berada pada tahap optimum.
- JBPM komited menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa dan memastikan keselamatan serta kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
- Penugasan pegawai, anggota dan aset di lokasi strategik membolehkan keperluan kecemasan dan penyelamatan ditangani dengan pantas, teratur dan berkesan.
- Koordinasi antara JBPM, penganjur serta agensi berkaitan diperkukuh untuk memastikan keselamatan pengunjung, peserta dan petugas menurut prosedur operasi standard.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad menerusi kenyataan memaklumkan penugasan berkenan merupakan sebahagian komitmen JBPM dalam menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa di negara ini, selain memastikan aspek keselamatan serta kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
“JBPM sentiasa bersedia memberi sokongan dalam penganjuran acara berskala besar, khususnya melibatkan kehadiran orang ramai, peserta serta delegasi dari dalam dan luar negara.
“Penugasan pegawai, anggota dan aset JBPM di lokasi-lokasi strategik membolehkan sebarang keperluan kecemasan serta penyelamatan dapat ditangani dengan pantas, teratur dan berkesan,” katanya.
Kenyataan turut memberitahu,koordinasi antara JBPM, penganjur serta agensi berkaitan turut diperkukuh agar kesiapsiagaan operasi sepanjang perlumbaan berada pada tahap yang ditetapkan.
“Keselamatan pengunjung, peserta, petugas dan semua pihak yang terlibat menjadi keutamaan dan JBPM sedia memastikan setiap penugasan dilaksana berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan,” jelasnya.
Penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 selama tiga hari merupakan acara sukan permotoran bertaraf dunia yang kembali berlangsung di negara ini selepas kali terakhir Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 pada 2017.