LANGKAWI, 14 Mei - Seiring peredaran masa dan teknologi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berevolusi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha menambah baik kualiti penyampaian maklumat kepada penonton.
Penguasaan teknologi itu membolehkan warga kerja menambah nilai kepada hasil kerja masing-masing.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata adaptasi AI turut melatih semula petugas jabatan agar kekal relevan dengan perubahan masa terutama melibatkan karya di semua platform.
"Kita perlu lihat masa akan datang bagaimana mengunakan AI untuk buat padanan antara pengiklan dan juga dimana AI bantu kita dalam pengiklan yang sesuai untuk program-program kita, untuk demografi tertentu dan kemudian AI untuk sumber manusia dan sebagainya," kata Suhaimi.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi amanat Ketua Pengarah Penyiaran kepada peserta Kursus Empowering Network, Uniting Broadcast, di sini.
Kursus selama tiga hari itu melibatkan semua jurutera Jabatan Penyiaran dengan kerjasama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Sementara itu, Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menyediakan kursus yang bersesuaian mengikut peredaran semasa.
Salah satunya ialah kecerdasan buatan dalam bidang penyiaran.