fb fb fb fb fb

Keteguhan Malaysia isu Asia Barat, tidak jejas hubungan kuasa besar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

DOHA, 14 Mei - Pendirian teguh Malaysia berhubung konflik di Asia Barat termasuk sokongan terhadap Palestin tidak menjejaskan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk potensi pelaburan ke dalam negara.

"Ia sangat jelas. Kita (Malaysia) ada hubungan yang sangat baik dengan China. Saya tidak mengamalkan xenofobia. Kita telah jalin hubungan akrab sejak sekian lama. Banyak pelaburan masuk dari pelbagai negara seperti Jerman dan Timur Tengah.

"Dari Amerika Syarikat juga Microsoft, Google yang datang dengan rancak (pelaburan). Kita mengalu-alukan mereka malah Malaysia terkenal sebagai kuasa semikonduktor di rantau ini. Pasti ada sebabnya, dan salah satunya kerana sokongan Amerika Syarikat," kata Anwar pada sesi khas "In Conversation with Prime Minister" sempena Forum Ekonomi Qatar, di sini.

Anwar mengulas mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin Hamas semalam yang didakwa berkemungkinan memberi kesan terhadap hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain.

Pada sesi sama, Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan untuk membuka kasino kedua di Malaysia.

Jelas Anwar, kerajaan kini fokus terhadap transformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memacu pembangunan negara.

"Tiada! Tidak ada keperluan untuk Malaysia ceburi perniagaan kasino (kedua). Kami fokus kepada transformasi digital, transisi tenaga dan AI dan kami percaya, ini mencukupi untuk mendorong negara ke hadapan," katanya menjawab pertanyaan, sama ada mempertimbangkan pembukaan kasino kedua bawah kerajaan MADANI," katanya menjawab pertanyaan, sama ada mempertimbangkan pembukaan kasino kedua bawah kerajaan MADANI.

TETITIA YUSOFF